2.2.1 PEMILIHAN PAKAIAN

Ada beberapa jenis kod pakaian yang paling kerap digunakan, iaitu:

  1. kasual
  2. semi-formal
  3. formal

Kasual

Pakaian kasual ialah pakaian yang selesa dan yang dipakai setiap hari untuk bersantai. Pakaian kasual merupakan pakaian yang akan anda pakai untuk keluar membeli-belah, melawat kawan dan bersiar-siar.

Pakaian kasual lazimnya berpenampilan kemas dan selesa. Adalah satu perkara yang pelik bagi anda untuk tampil kasual semasa di dalam pejabat, kecuali jika majikan membenarkannya. Lazimnya, majikan akan mengumumkan ‘dress down’ sekiranya ada aktiviti seperti bergotong-royong, berpindah pejabat dan sebagainya.

 

Pakaian kasual terdiri daripada:

  1. jeans – tidak kira seluar atau skirt
  2. t-shirt – mesti mempunyai gambar dan tulisan yang sopan
  3. seluar pendek
  4. seluar capri
  5. kasut sukan
  6. selipar

Jenis kain yang sesuai ialah:

  1. denim
  2. kain kapas
  3. khaki

Kesemua pakaian yang diperbuat daripada jenis kain di atas boleh dibasuh dengan mesin basuh.

Semi-formal

Pakaian semi-formal telah menjadi satu pakaian rasmi untuk ke pejabat semenjak berpuluh-puluh tahun dahulu. Sebelum tahun 90-an, pakaian selain formal tidak diterima sebagai pakaian rasmi ke pejabat.

Namun, sejak kebelakangan ini, majikan telah menyedari bahawa pakaian memainkan peranan yang penting dalam meningkatkan produktiviti sesebuah syarikat. Pekerja akan berasa lebih selesa bekerja apabila memakai pakaian yang lebih kasual. Hal ini membuatkan pekerja lebih bersemangat untuk bekerja.

Hari ini, kita dapat melihat bahawa doktor dan guru berpakaian lebih kasual semasa bekerja. Walaupun ada segelintir majikan yang membenarkan pakaian kasual di pejabat, ada juga yang masih menitikberatkan penampilan semasa kerja sebagai memelihara imej syarikat. Pakaian yang formal melambangkan syarikat yang lebih profesional.

Aktiviti seharian di pejabat mungkin menuntut anda untuk berjumpa dengan rakan perniagaan yang lain atau pelanggan. Sudah tentu anda tidak mahu dipandang rendah atau selekeh, bukan? Sebab itulah walaupun majikan membenarkan pakaian kasual ke pejabat, masih ada batas-batas yang perlu anda patuhi.

Pakaian semi-formal terdiri daripada:

A. Wanita

  1. seluar panjang
  2. skirt
  3. baju kurung/kebaya atau pakaian tradisional yang lain
  4. blaus
  5. blazer/jaket
  6. gaun kasual

B. Lelaki

  1. seluar panjang
  2. kemeja lengan panjang
  3. t-shirt berkolar
  4. kemeja lengan pendek
  5. jaket/blazer
  6. tali leher

Jenis kain yang sesuai ialah:

  1. khaki
  2. rayon
  3. polyester
  4. batik

Formal

Pakaian formal jarang lagi dapat dilihat dalam aktiviti kita seharian dan hanya digunakan untuk individu yang berpangkat tinggi atau individu yang ingin menghadiri mesyuarat penting.

Pakaian formal juga dipakai ketika menghadiri temu duga ataupun ketika hendak berjumpa dengan golongan berpangkat tinggi seperti Sultan, Yang Dipertuan Agong atau Gabenor.

Pakaian formal terdiri daripada:

A. Wanita

  1. jaket dengan skirt atau seluar
  2. seluar panjang dengan blaus yang sesuai
  3. kurung atau kebaya
  4. kasut yang bertumit tinggi dan diperbuat daripada kulit (tidak terlalu menarik perhatian)

Bagi wanita yang memilih untuk memakai skirt, beliau hendaklah memakai pantyhose atau stoking nipis untuk menutup kulit.

Baju kurung sesuai untuk semua jenis keadaan, tetapi jika anda bertudung, pastikan warna tudung dan baju adalah sedondon. Elakkan pakaian yang beropol-ropol atau berfesyen pelik.

B. Lelaki

  1. baju sut/blazer yang sesuai
  2. kemeja lengan panjang yang dibutang penuh dan bertali leher
  3. vest
  4. tali pinggang atau suspender
  5. stoking yang berwarna sama dengan sut yang dipakai
  6. kemeja batik/baju melayu dan samping
  7. kasut kulit

Pemilihan warna adalah penting agar tidak terlalu menonjol. Jangan pilih pakaian yang pelik sehingga menarik perhatian orang lain memandang anda.Warna yang sesuai ialah warna korporat, iaitu hitam dan putih, biru tua, coklat tua atau coklat muda, krim atau kelabu. Elakkan warna terang seperti merah terang, ungu, hijau atau kuning terang. Walau bagaimanapun, warna sebegini dibenarkan jika pakaian yang dipakai ialah baju kurung atau kemeja bercorak batik.


 



Leave a comment